Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah
Sambutan Mawlid adalah bid'ah akan tetapi terhadap orang yang berinteraksi dengan Mawlid, ia boleh dikategorikan kepada 4 kumpulan:
Pertama:
Mereka yang mengetahui bahawa sambutan Mawlid adalah Bid'ah. Mereka juga mengetahui bahawa memuliakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah satu perkara yang tidak bertempoh, ianya berterusan selagi mana termampu.
Kedua:
Mereka yang juga mengetahui sambutan Mawlid adalah Bid'ah tetapi menggunakan kesempatan yang ada untuk menyampaikan kepada masyarakat awam apakah itu sunnah yang sebenar dan bagaimana cara memuliakan sunnah tersebut. Bagi kumpulan kedua ini, manfaat yang diperolehi di dalam menggunakan kesempatan ini adalah lebih tinggi daripada manfaat meninggalkannya.
Ketiga:
Mereka yang ikhlas lagi jujur dalam beragama tetapi kerana sebab-sebab yang tidak disengajakan, telah tidak sampai kepada mereka pengetahuan yang sebenar tentang sambutan Mawlid. Maka mereka menyambutnya semata-mata atas dasar kasih sayang dan hormat kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Orang yang tidak sengaja ini tetap akan mendapat ganjaran daripada Allah Ta'ala, demikian terang
Ibn Taimiyyah di dalam Iqtidha Sirat al-Mustaqim.
Keempat:
Mereka yang telah sampai pengetahuan tentang kesalahan menyambut bid'ah tetapi tetap berkeras untuk membenarkannya kerana alasan nafsu dan duniawi. Malah mereka menggunakan kesempatan yang ada untuk membesarkan lagi amalan kemungkaran dan bid'ah. Umpama himpunan beramai-ramai yang melibatkan percampuran lelaki dan perempuan. Juga upama mengadakan majlis Ratib, Qasidah, Marhaban, bermimpikan Nabi dan pelbagai lagi. Mereka ini mendapat balasan dari Allah, malah mungkin dilipat gandakan kerana menggunakan kemuliaan Nabi s.a.w. sebagai pemangkin untuk menggerakkan kemungkaran dan bid'ah.
Para Imam dan Tokoh yang mulia seperti Ibn Hajar al-'Asqalani, al-Suyuti dan al-Qaradhawi yang cenderung kepada Hari Mawlid, mereka cenderung kerana kategori yang kedua di atas.
Akan tetapi orang-orang di dalam kategori keempat di atas telah menggunakan nama para Imam dan Tokoh tersebut untuk membenarkan amalan mungkar dan bid'ah mereka. Ini adalah satu tindakan yang tercela.
Posted by: Admin on Monday, April 12, 2004 - 03:57 PM
www.al-firdaus.com
No comments:
Post a Comment